Saturday, November 10, 2012

Muslim Mantop Akan Kejar Solat Jemaah

[sumber]
Assalamualaikum wbt,

Mengaku beriman dengan Ar-Rasul dan sunnahnya?

Maka mari kita terjemahkan iman kita dengan amal yang satu ni, Solat Berjemaah.

Supaya kita menjadi Muslim Mantop!
...

Hadis 1

Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda:

"Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya."
(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Hadis 2
Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
"Demi Tuhan yang diriku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku pernah hendak menyuruh para sahabat untuk mencari kayu api, lalu aku menyuruh agar bersolat jemaah. Seterusnya, aku menyuruh seseorang untuk mengimami orang ramai, sementara aku tidak ikut solat berjemaah kerana mencari rumah orang yang tidak mengikuti solat berjemaah, lalu aku bakar rumah mereka."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis 3
Bahawa pernah suatu ketika datang seorang lelaki buta kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang meminta keringanan untuk solat di rumah. Namun, tatkala lelaki itu hendak pergi, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam memanggilnya dan bertanya, "Adakah engkau mendengar laungan azan?" Lelaki buta itu menjawab, "Ya." Rasulullah sallallahu alaihi wasallam kemudiannya berkata, "Kalau begitu, penuhilah panggilan itu (solat secara berjemaah)."
(Riwayat Muslim)
Hadis 4
Daripada Abdullah bin Umar radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
"Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda."
(Riwayat Bukhari)
Hadis 5
Daripada Uthman bin Affan radiallahuanhu yang mana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah bersabda (maksudnya):
"Sesiapa yang berwuduk untuk solat, lalu dia menyempurnakan wuduknya, kemudian dia terus berjalan untuk mendirikan solat fardu, lalu dia pun menunaikannya bersama orang lain atau secara berjemaah atau di masjid nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya."
(Riwayat Muslim)
Hadis 6
Daripada Ubay bin Kaab radiallahuanhu, daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud:
"Sesungguhnya solat lelaki yang dilakukan bersama seorang lelaki yang lain lebih afdal (di sisi Allah) daripada solatnya secara bersendirian. (Begitu juga) solatnya bersama dua orang lelaki lebih afdal (di sisi Allah) daripada solat yang dilakukan bersama seorang lelaki sahaja. Semakin ramai bilangan ahli jemaah maka ia semakin disukai di sisi Allah."
(Riwayat Abu Daud)
Hadis 7
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sesungguhnya solat yang paling berat bagi mereka yang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh, kalaulah mereka tahu kelebihan kedua-duanya nescaya mereka akan datang melaksanakannya meskipun dalam keadaan merangkak.” 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
............................................................................................................
Jangan tangguh-tangguh lagi. Mari kita bulatkan tekad kejar solat jemaah bagi setiap solat fardhu. Ini bukan perkara main-main tetapi adalah bukti keimanan kita kepada hadis-hadis di atas.
Semoga Allah beri kita semua kekuatan, hidayah dan taufiq-Nya untuk kita istiqamah melaksanakan solat jemaah.
Kata nak menang terhadap kaum musyrikin kan? Bina kekuatan kita melalui jemaah.
JOM Jemaah!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...