Tuesday, May 22, 2012

Silaturrahim Meluaskan Rezeki


Assalamualaikum wbt,

Pendahuluan: Silaturrahim meluaskan rezeki

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalinkan hubungan tali silaturahim." 
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Saya pasti semua orang pernah merasai kenikmatan 'murah rezeki' melalui orang-orang yang berada di sekitarnya. Cuma sama ada kita sedar atau tidak, dan sama ada kita cuba untuk mengambil pengajaran daripadanya ataupun tidak sahaja.


Ibu Bapa & Keluarga

Ibu bapa & keluarga merupakan orang yang paling layak menerima selebar-lebarnya tali silaturrahim daripada kita. Dan bayangkan sepanjang kita melalui kehidupan ini, berapa banyakkah rezeki yang Allah limpahkan melalui mereka? 

Sangat banyak. Rezeki makan, rezeki minum, rezeki kehidupan yang selesa, rezeki ditatang bagai minyak yang penuh, rezeki pakaian, rezeki tempat tinggal, rezeki bantuan tatkala kita kesempitan dan macam-macam lagi. Alhamdulillah.

Tapi kadang-kadang kita tak perasan dan tak hargai pun mereka. Kita tak merasai pun Allah beri kita rezeki melalui mereka. Astaghfirullah...

Terima kasih Ummi, Ayah dan Adik-adikku. Semoga Allah membalas jasa kalian sebanyak-banyaknya.

Rezeki Ilmu

Antara rezeki yang sangat saya rasai hasil daripada menghubungkan silaturrahim ialah rezeki ilmu. Dan ilmu ni saya rasa sangat luas takrifnya. Saya percaya dan yakin setiap manusia diciptakan berbeza dan punya keunikan yang tersendiri. Uniknya mereka maka unik jugalah ilmu-ilmu yang mereka ada. Saya pecahkan kategori rezeki ilmu ni kepada dua, rezeki ilmu tersurat dan rezeki ilmu tersirat.

Rezeki ilmu tersurat ini maksudnya ilmu yang kita peroleh apabila mendapat informasi daripada seseorang. Kita bertanya, dia menjawab. Kita hadiri seminar, penceramah menyampaikan. Kita ke kelas, pensyarah mengajar. Itu semua ilmu yang kita dapat apabila kita behubung dengan seseorang. Dan ilmu tersebut merupakan rezeki.

Rezeki ilmu tersirat pula maksudnya pengetahuan tentang sesorang yang menyebabkan kita mampu menggunakan pengetahuan tersebut untuk kebaikan diri kita. Contohnya, dengan kita menghubungkan silaturrahim, kita akan mengenali latar belakang seseorang. Makin ramai orang yang kita kenal, makin pelbagai latar belakangnya. Rezeki bakal hadir apabila kita manfaatkan keunikan latar belakang mereka.

"Owh, dia ini punya tanah luas yang belum diteroka rupanya di kampung, bolehlah saya luaskan perusahaan tanaman sawit saya. Pasti dia pun suka".

"Hmm...dia ini pakar motivasi dan punya syarikat konsultan sendiri, bolehlah saya minta tips kemahiran belajar dan mengurus masa semasa jumpa dia di surau nanti".

"Baru saya teringat, Syafiq kawan baik saya di universiti dulu dah jadi orang hebat di Petronas. Mungkin saya boleh minta cadangan jurusan yang baik untuk anak saya yang baru lepas SPM ni".

Dan macam-macam lagi keadaan boleh berlaku. Mungkin jiran-jiran di sekeliling kita merupakan orang yang hebat tetapi disababkan kita tak pernah cuba menyambung silaturrahim dengannya, kita tak tahu pun kelebihan yang ada padanya.

Selain itu, melalui sambungan silaturrahim juga, Allah beri peluang kepada kita untuk beramal sebanyak-banyaknya. Kerana kita juga punya kelebihan dan boleh memberi manfaat kepada orang lain yang memerlukannya.

Inilah indahnya ukhuwwah islamiyah. Kita mendapat manfaat dan kita juga dapat memberi manfaat untuk manusia lain. Dan rezeki syurga menanti sesiapa yang berlumba-lumba untuk memberikan manfaat.

Penutup: Rezeki Doa

Ukhuwwah islamiyah itu harus didasari dengan keimanan. Maka hubungan silaturrahim yang dibina itu bukan semata-mata mahu mengumpul rezeki wang dan harta, malah rezeki-rezeki lain yang lebih berharga daripada wang dan harta itu akan datang dengan sendirinya.

Andai ukhuwwah itu suci, mereka yang saling berhubungan itu pasti akan saling mendoakan dalam tahajud mereka. Semakin banyak manusia yang terkesan dengan hubungan yang kita bina dengan mereka, insyaAllah semakin banyaklah doa-doa yang akan sampai kepada kita tanpa kita sedari. Inilah rezeki doa hasil hubungan silaturrahim yang dibina dan dijaga.

Jangan segan, jangan malu, JOM Berukhuwwah!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...